Langkau tajuk talian

Claude Code · Telefon sahaja

Tiru Gaya Video Kegemaran Anda dengan Claude Code

Anda ada video yang anda suka gayanya? Lampirkan video itu, lampirkan rakaman anda sendiri, tambah B-roll, taip satu arahan, dan Claude akan edit video anda supaya bergaya sama. Semuanya dari telefon, tanpa komputer.

Tutorial ini untuk anda yang belum ada Claude dan belum ada akaun GitHub. Kita mulakan dari kosong. Skrol sahaja ke bawah, atau guna menu di sebelah kanan untuk melompat ke bahagian tertentu.

Apa yang anda akan dapat

Anda lampirkan tiga jenis video dalam sembang Claude, kemudian hantar satu arahan seperti ini:

"Tiru gaya video rujukan ini dan terapkan pada video rakaman saya. Selitkan B-roll yang saya lampirkan."

Beberapa minit kemudian, video siap anda tersedia untuk dimuat turun.

Bagaimana ia berfungsi

Claude Code di telefon berjalan di awan (cloud), bukan di dalam telefon anda. Telefon hanya menjadi remote. Kerja berat dilakukan oleh komputer Claude di atas talian, dan alat edit video (ffmpeg) sudah tersedia di sana.

  1. Anda lampirkan video rujukan, video rakaman dan B-roll dalam sembang
  2. Anda hantar satu arahan lengkap
  3. Claude menganalisis gaya video rujukan, kemudian mengedit video anda
  4. Anda muat turun hasilnya

Apa yang perlu disediakan

  • Telefon (iPhone atau Android) dengan internet
  • Alamat email
  • Langganan Claude berbayar (Pro atau Max). Claude Code tidak boleh digunakan dengan akaun percuma.
  • Tiga jenis video (kita bincang di bawah)

Persediaan sekali sahaja

Bahagian ini hanya perlu dibuat sekali. Selepas ini, setiap kali mahu edit video, anda terus ke bahagian Hantar kepada Claude.

1. Buat akaun GitHub

GitHub ibarat Google Drive untuk projek. Di sinilah Claude menyimpan video siap anda.

  1. Buka browser telefon (Safari atau Chrome), pergi ke github.com/signup
  2. Masukkan email, password, dan pilih username
    • Username akan jadi sebahagian daripada pautan anda, jadi pilih yang kemas. Contoh: ahmad-edits
  3. Selesaikan pengesahan (puzzle kecil) dan masukkan kod yang dihantar ke email anda
  4. Jika ada soalan survey, pilih Skip
  5. Pilih pelan Free. Memadai untuk tutorial ini.

Guna browser, bukan aplikasi GitHub

Untuk tutorial ini, kita guna laman web github.com dalam browser. Aplikasi GitHub di telefon tidak sesuai untuk membuat repo.

Anda berjaya jika

Anda nampak halaman utama GitHub dengan ikon profil anda di penjuru atas.

2. Langgan Claude & pasang aplikasi

  1. Pasang aplikasi Claude daripada App Store (iPhone) atau Google Play (Android)
  2. Buka aplikasi dan daftar akaun. Anda boleh guna email atau akaun Google/Apple.
  3. Langgan pelan Pro (atau Max). Anda boleh buat melalui aplikasi, atau melalui claude.ai di browser.

Anda berjaya jika

Dalam aplikasi Claude, anda nampak menu atau tab Code. Jika tab itu tidak muncul, kemas kini aplikasi kepada versi terbaharu, dan pastikan langganan anda sudah aktif.

Nama menu boleh berubah

Aplikasi dikemas kini dari semasa ke semasa, jadi nama atau kedudukan butang mungkin sedikit berbeza. Jika buntu, cari perkataan Code.

3. Buat repo

Repo ialah folder projek di GitHub. Kita buat satu repo khas untuk kerja edit video anda.

  1. Dalam browser telefon, pergi ke github.com/new
  2. Repository name: taip video-saya
  3. Pilih Private, supaya hanya anda yang boleh melihat video anda
  4. Tandakan Add a README file
  5. Tekan Create repository

Jangan skip README

Repo kosong akan menyukarkan Claude. Dengan README, repo anda sudah ada fail pertama dan Claude boleh terus bekerja.

Anda berjaya jika

Anda nampak halaman repo video-saya dengan fail README.md.

4. Sambung Claude ke GitHub

  1. Buka aplikasi Claude, pergi ke tab Code
  2. Tekan untuk menyambung ke GitHub (Connect GitHub)
  3. Browser akan terbuka. Log masuk ke GitHub jika diminta, dan tekan Authorize
  4. Pasang Claude GitHub App apabila diminta. Pada bahagian repositori, pilih Only select repositories, kemudian pilih video-saya. Tekan Install.
  5. Kembali ke aplikasi Claude dan pilih repo video-saya untuk memulakan sesi baharu

Kenapa pilih repo tertentu sahaja?

Lebih selamat. Claude hanya boleh melihat repo video-saya, bukan semua repo anda.

Anda berjaya jika

Anda nampak ruangan sembang untuk sesi baharu, dengan nama repo video-saya kelihatan.

Sediakan tiga jenis video

Sebelum menghantar arahan, siapkan tiga jenis video ini dalam galeri telefon anda.

Video Fungsi Tip
1. Video rujukan Gaya yang anda mahu tiru Pilih yang pendek (15 hingga 60 saat) dan gayanya jelas. Satu video sahaja.
2. Video rakaman anda Kandungan sebenar, iaitu cakap atau aksi anda Rakam seperti biasa. Pastikan bunyi jelas.
3. B-roll Klip tambahan untuk diselitkan (produk, suasana, pemandangan) Pilihan. Satu atau beberapa klip pendek.

Saiz fail

Video yang terlalu besar mungkin gagal dimuat naik. Untuk permulaan, gunakan klip pendek dan resolusi 1080p (bukan 4K). Di iPhone: Settings → Camera → Record Video. Di Android: tetapan resolusi dalam aplikasi kamera.

Hantar kepada Claude

Inilah langkah utama. Dalam tab Code, dalam sesi repo video-saya:

  1. Tekan butang lampir (ikon klip kertas atau +) di sebelah kotak mesej
  2. Pilih ketiga-tiga video: rujukan, rakaman anda, dan B-roll
  3. Salin arahan di bawah dan tampal dalam kotak mesej
  4. Tekan hantar

Arahan lengkap (salin semua)

Saya lampirkan tiga jenis video:
1. VIDEO RUJUKAN: gaya yang saya mahu tiru.
2. VIDEO RAKAMAN SAYA: kandungan sebenar yang perlu diedit.
3. B-ROLL: klip tambahan untuk diselitkan.

Tugas: edit video rakaman saya supaya gayanya sama seperti video rujukan.

Ikut langkah ini:
1. Analisis video rujukan dahulu menggunakan ffmpeg. Ambil beberapa frame dan ukur masa potongan. Catat dengan ringkas: nisbah skrin, purata tempoh setiap shot, kekerapan potongan, kesan zoom atau transisi, nada warna (terang, gelap, hangat, sejuk), gaya teks atau subtitle (saiz, warna, kedudukan), dan kelantangan muzik berbanding suara.
2. Edit video rakaman saya mengikut analisis itu: buang bahagian senyap dan percakapan yang berulang, laraskan kelajuan potongan, nisbah skrin, dan nada warna supaya sama dengan rujukan.
3. Selitkan B-roll pada bahagian yang sesuai supaya video tidak membosankan. Jangan letak B-roll melebihi 3 saat pada satu-satu masa.
4. Tambah subtitle mengikut gaya rujukan. Jika kamu tidak dapat menyalin suara kepada teks, tanya saya teks yang dituturkan.
5. Simpan hasil akhir dalam folder "siap" dengan nama "hasil.mp4" (format mp4), dalam nisbah skrin yang sama dengan rujukan. Jangan ubah atau padam video asal saya.

Beritahu saya ringkasan rancangan kamu dahulu, kemudian terus laksanakan tanpa menunggu jawapan saya. Jika ada elemen dalam rujukan yang tidak dapat ditiru dengan tepat, beritahu saya apa yang kamu lakukan sebagai ganti.

Apa yang berlaku selepas itu

  1. Claude menerangkan apa yang dia nampak dalam video rujukan
  2. Claude menjalankan ffmpeg di cloud untuk mengedit video anda
  3. Jika Claude meminta kebenaran, baca dahulu dan pilih Allow atau Yes jika anda bersetuju
  4. Claude menyimpan hasil dalam folder siap, dan menghantarnya ke GitHub

Claude tidak menonton video seperti manusia

Claude menganalisis video melalui gambar (frame) yang diambil, serta ukuran masa potongan. Jadi peniruan gaya bersifat anggaran: rentak potongan, nisbah skrin, warna, dan gaya teks biasanya boleh ditiru dengan baik. Animasi grafik yang rumit mungkin tidak sama persis.

Kalau butang lampir tidak menerima video

Jika aplikasi tidak membenarkan lampiran video, atau video terlalu besar, gunakan laluan GitHub:

  1. Buka github.com/<username anda>/video-saya dalam browser
  2. Tekan Add file, kemudian Upload files
  3. Pilih ketiga-tiga video, tunggu muat naik selesai, dan tekan Commit changes
  4. Dalam sesi Claude, hantar arahan yang sama, dan tambah satu baris di permulaan: "Video saya sudah ada dalam repo ini. Sila senaraikan fail untuk mengenal pasti yang mana rujukan, rakaman, dan B-roll."

Melalui browser, GitHub hanya menerima fail sehingga 25MB setiap satu.

Tambah baris ini jika perlu

Anda boleh tambah baris-baris ini di hujung arahan:

  • Jika mahu B-roll di tempat tertentu: "Letakkan B-roll produk semasa saya menyebut tentang harga, kira-kira pada 0:12 hingga 0:15."
  • Untuk platform tertentu: "Ini untuk TikTok, maksimum 30 saat."
  • Jika mahu muzik: "Kekalkan muzik latar daripada video rujukan pada kelantangan yang rendah."

Semak hasil & minta ubah

Selepas Claude siap, anda boleh minta pembetulan dengan ayat biasa dalam sembang yang sama:

  • "Terlalu laju, perlahankan sedikit."
  • "Potong 2 saat lebih awal."
  • "Subtitle terlalu kecil, besarkan."
  • "Buang B-roll yang kedua."

Video asal anda tidak pernah diubah, jadi anda boleh mencuba berkali-kali tanpa risau.

Ambil video yang siap

Claude menyimpan hasil kerja di GitHub, bukan terus dalam galeri telefon. Jadi kita muat turun dari sana.

Claude biasanya menyimpan hasil dalam cabang (branch) berasingan, dengan nama bermula claude/.

  1. Buka repo anda di browser: github.com/<username anda>/video-saya
  2. Tekan menu cabang (biasanya tertulis main) dan pilih cabang yang bermula claude/
  3. Buka folder siap
  4. Tekan hasil.mp4. Anda boleh menontonnya terus di situ.
  5. Tekan ikon Download (anak panah ke bawah) untuk simpan ke telefon
Mahu video siap berada di cabang utama (main)?

Minta Claude: "Buat pull request untuk perubahan ini ke main." Kemudian buka pull request itu di GitHub dan tekan Merge pull request.

Tahniah!

Anda kini boleh meniru gaya video yang anda suka, hanya dengan telefon. Mulai sekarang, buka tab Code, lampirkan video, tampal arahan yang sama, dan Claude buat kerja.

Masalah biasa

Saya tidak nampak tab Code dalam aplikasi Claude

Pastikan aplikasi Claude sudah dikemas kini kepada versi terbaharu, dan akaun anda mempunyai langganan Pro atau Max. Akaun percuma tidak boleh menggunakan Claude Code.

Repo video-saya tidak muncul bila saya mahu pilih

Claude GitHub App belum diberi akses kepada repo tersebut. Buka github.com/settings/installations, pilih Claude, tekan Configure, dan tambah video-saya dalam senarai repositori.

Lampiran video gagal atau tersekat

Kemungkinan fail terlalu besar. Kecilkan video atau potong kepada bahagian lebih pendek, kemudian cuba lagi. Pastikan juga sambungan internet anda stabil. Atau gunakan laluan GitHub di atas.

Hasil video tidak seperti rujukan

Beritahu Claude secara spesifik apa yang berbeza, contohnya "Rujukan memotong setiap 1.5 saat, tetapi hasil awak 4 saat." Semakin spesifik, semakin tepat pembetulan.

Saya tidak jumpa video siap di GitHub

Claude menyimpan hasil dalam cabang berasingan, bukan main. Tukar cabang melalui menu di bahagian atas repo, atau minta Claude buat pull request dan merge ke main.